Pantai di Melaka

6 Pantai di Melaka Yang Menarik Untuk Anda Lawati

  • Post comments:0 Comments
  • Reading time:8 mins read
  • Post last modified:March 23, 2024
  • Post author:
*Di laman ini mungkin mengandungi pautan ‘affiliate’, yang bermaksud bahawa kami akan menerima komisen kecil jika anda mengklik salah satu pautan produk. Tidak dikenakan bayaran lebih jika membeli produk melalui link kami. Terima kasih atas sokongan anda*

 

Melaka, sebuah negeri yang sangat popular dengan tempat-tempat bersejarah dan sering menjadi tumpuan pengunjung untuk bercuti sama ada pada cuti umum atau cuti hujung minggu.

Selain tempat-tempat bersejarah, banyak lagi tempat yang menarik untuk dikunjungi yang pasti dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan ketika bercuti di bandaraya bersejarah ini.

Tetapi bukan itu sahaja yang negeri ini tawarkan, terdapat beberapa pantai di Melaka yang menarik untuk dikunjungi kepada yang suka pergi ke pantai. Selain menghabiskan masa di bandar, sekali sekala pergi ke pantai juga perkara yang seronok untuk dilakukan untuk merehatkan minda.

Jadi, mari kita lihat beberapa pantai tersebut.

Pantai Klebang

Klebang yang terletak di daerah Melaka Tengah, lokasinya yang cukup strategik iaitu tidak jauh dari Bandar Melaka, bahkan berjiran dengan Pantai Puteri. Sebut sahaja tentang Pantai Klebang, pasti orang ramai sudah tahu ia berada di Klebang Besar.

Pantai yang paling popular untuk dikunjungi jika anda bercuti ke Melaka. Berada di Pantai Klebang seolah-olah berada di sebuah Padang Pasir. Terdapat bukit pasir yang memang terkenal kepada para pengunjung untuk bergambar.

Pengunjung pastinya tidak kering idea untuk mencuba sendiri pelbagai aktiviti yang ada disediakan seperti bermain layang-layang, menaiki jentera ATV, berkelah, layan pemandanan matahari terbenam. Yang pasti anda tidak mahu terlepas untuk menikmati kesegaran coconut shake Klebang original di waktu petang.

Pantai Klebang

 

Pantai Pengkalan Balak

Singgah di Alor Gajah, jangan lupa ke Masjid Tanah untuk melihat sendiri keindahan Pantai Pengkalan Balak yang menjadi tarikan ribuan pengunjung setiap cuti sekolah. Jika Pantai Klebang popular dengan Padang Saharanya, bagi Pantai Pengkalan Balak pula apa yang memukau adalah bentuk geografi yang cukup cantik dengan batu bata besar menghiasi gigi pantai.

Lokasinya lumayan iaitu jauh dari hiruk-pikuk bandar, bahkan berdekatan juga dengan Kem Tentera Terendak, dan Akademik Laut Malaysia (ALAM). Jadi, tidak hairanlah jika suasana damai dan potret indah di pantai ini tergolong di antara pantai tercantik di pantai barat Malaysia.

Tangkap gambar sambil menikmati tiupan angin laut yang menghembus manja ke tubuh di waktu petang, kadang-kala boleh tertidur melayan bayu laut yang sungguh mengasyikkan. Penat melakukan aktiviti menarik seperti mandi laut, berkelah, BBQ, bermain bola tampar, dan aktiviti pantai yang lain, anda boleh mencuci mata mengunjungi kawasan menarik di sekitarnya.

Tempat menarik yang boleh anda lawati termasuklah Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Pusat Konservasi dan Penetasan Penyu Karah, dan lain-lain.

Tidak perlu risau untuk mencari penginapan kerana di sini ada banyak pilihan homestay, hotel, dan chalet yang berdekatan. Pakej yang lengkap ini pastinya akan menjanjikan pengalaman percutian yang sangat mendamaikan dalam suasana kampung nelayan yang tersusun cantik di persisiran Pantai Melaka.

 

Pantai Puteri

Pantai sepanjang 2.5 km menghadap Selat Melaka ini dikenali dengan nama panggilan Pantai Puteri. Dulunya digelar Pantai Kundor oleh masyarakat setempat yang tidak asing lagi berkunjung dari segenap lapisan kaum dan umur.

Faktor nyaman, bersih, indah, dan damai adalah tarikan yang disajikan sehingga membuatkan sesiapa yang berkunjung pasti duduk lama di sana.

Setiap pagi, pancaindera menikmati aktiviti para nelayan yang menjalankan kerja-kerja menangkap hasil laut seperti ikan, sotong, ketam, dan udang yang boleh anda beli di gerai jualan mereka dengan harga jauh lebih murah.

Pokok-pokok Ru yang tumbuh banyak dan tinggi di pantai menjadikan suasana petang bertambah redup untuk anda bersantai atau melakukan aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga.

Bukan itu sahaja, tarikan terbaru anda boleh merasai sendiri pengalaman menaiki kereta unta atau menunggang unta sambil bersiar-siar di sekitar kawasan pantai. Yang pasti, kaki joran, kaki camping, dan kaki makan, Pantai Puteri adalah destinasi percutian paling lengkap untuk anda nikmati kesemua momen ini.

Pantai Puteri

 

Pantai Padang Kemunting

Satu lagi lokasi peranginan yang ada di Masjid Tanah adalah Pantai Padang Kemunting yang tidak jauh dengan Pantai Pengkalan Balak. Buat pencinta pasir pantai putih dan bayu laut, ini destinasi yang mengasyikkan untuk anda menghilangkan tekanan dan berehat.

Kerana kedudukannya yang agak tersorok, ia agak kurang dikenali oleh para pengunjung. Namun siapa sangka permata di lautan biru ini mampu untuk memukau sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki di situ.

Bagi yang pertama kali ingin datang ke pantai ini, dicadangkan waktu yang terbaik adalah dari bulan April hingga September kerana ketika itu cuaca amat cerah dan tidak hujan. Elakkan datang pada bulan November hingga Februari kerana berkemungkinan besar itu waktu musim hujan yang boleh menganngu percutian anda ke pantai ini.

Sama seperti kebanyakkan pantai lain di Melaka, ia juga terdapat perkampungan nelayan di tepi pantai. Tetapi yang menarik di sini, ada tempat perlindungan dan penetasan penyu yang dijaga dengan rapi. Anda sudah tentu berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana penyu menetas dan proses-proses yang berlaku sehingga anak penyu boleh membesar menjadi penyu dewasa.

 

Pantai Sungai Tuang

Masih mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi yang dijaga rapi, pesisir Pantai Sungai Tuang ini banyak ditumbuhi pokok-pokok bunga yang cantik dan menarik. Dijadikan bak taman rekreasi buat para pengunjung dengan gabungan pantai dan tumbuh-tumbuhan hijau, tarikan yang satu ini memang lain dari yang lain.

Melihat sendiri air pantai mengalir ke laut, berjalan di atas batu di tengah-tengah pantai, merasai deruan ombak menghempas pantai, dan menikmati  pemandangan panorama senja dan fajar dari atas tembok memang suatu perasaan yang amat sukar digambarkan.

 

Pantai Tanjung Bidara

Pantai Tanjung Bidara yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah dan 2 km dari Kem Terendak ini diberikan jolokan nama sebagai klon Port Dickson oleh masyarakat tempatan.

Keadaan fizikal permukaanya yang landai dan pasir yang memutih menampakkan lagi pesisir pantai ini luas dan cukup indah dipandang. Tambahan lagi, kampung-kampung nelayan yang dibina di sepanjang pantai membuatkan suasana tampak damai dan permai.

Yang datang berkeluarga, berteman, atau berpasangan tidak perlu risau lagi kerana pihak pengurusan di Pantai Tanjung Bidara telah menyediakan segala fasiliti lengkap seperti tempat letak kereta yang luas, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera aneka makanan, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan semua pengunjungnya.

Pantai Tanjung Bidara

Kredit Foto: Chongkian (Wikimedia Commons)

 

Pantai adalah tempat yang sesuai untuk anda mencari ketenangan sambil melihat keindahan laut yang terbentang luas di depan mata. Tambahan, ia tempat yang sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan anda.

Jika anda ke Melaka, boleh luangkan masa dengan pergi ke pantai-pantai ini selain dari melawat tempat bersejarah yang ada di negeri ini. Semoga info ini bermanfaat kepada anda. Selamat bercuti!

Kongsi:
Save on your hotel - hotelscombined.com