Aktiviti Menarik di Bali

11 Aktiviti Menarik di Bali – Banyak yang Boleh Anda Lakukan

  • Post comments:0 Comments
  • Reading time:13 mins read
  • Post last modified:June 12, 2023
  • Post author:
*Di laman ini mungkin mengandungi pautan ‘affiliate’, yang bermaksud bahawa kami akan menerima komisen kecil jika anda mengklik salah satu pautan produk. Tidak dikenakan bayaran lebih jika membeli produk melalui link kami. Terima kasih atas sokongan anda*

 

Bali, destinasi yang indah dan menarik di Indonesia, telah menjadi tarikan popular bagi pelancong dari seluruh dunia.

Dengan pantai yang menakjubkan, kaya dengan budaya, dan mempunyai landskap yang memukau, tempat percutian ini menawarkan pengalaman yang mengagumkan kepada sesiapa yang mengunjunginya.

Bukan itu saja, terdapat banyak aktiviti menarik di Bali untuk anda lakukan yang pasti dapat memberi pengalaman yang menyeronokkan. Jadi tidak hairan ia merupakan antara destinasi di Indonesia yang digemari oleh rakyat Malaysia.

Mari kita lihat apa yang boleh anda lakukan disana. Boleh buat rujukan sebagai persediaan untuk percutian anda yang seterusnya.

Bali Swing

Bali Swing

Aktiviti main buaian atau lebih dikenali dengan ‘Bali Swing’ memang sangat popular di kalangan pelancong ketika bercuti ke Bali. Dan boleh dikategorikan sebagai ‘One of the hottest Instagram spots in Indonesia!’

Anda mungkin telah melihat foto atau video orang yang main Bali Swing ini di media sosial. Ianya antara aktiviti yang anda kena buat dan kira tidak lengkap percutian anda tanpa main Bali swing.

Dengan ayunan yang tinggi dari tanah, pasti memberikan pengalaman yang mendebarkan dan menakjubkan. Tambah menarik lagi, sambil dibuai tinggi, anda dapat layan permandangan alam yang menarik dan indah.

Terdapat banyak tempat untuk anda bermain Bali Swing, antara tempat yang terkenal adalah di Tegallalang. 

Ini masanya anda nak kongsi gambar atau video main bali swing kepada rakan anda.

 

Melihat Tarian Kecak

Tarian Kecak

Tarian Kecak merupakan salah satu tarian tradisional Bali yang terkenal di kalangan pelancong. Ia juga antara tarikan utama yang ada di Bali.

Tarian Kecak biasanya dipersembahkan di kawasan lapang dan ianya unik kerana tiada set musik digunakan. Hanya menggunakan suara penari-penari ketika melakukan persembahan.

Sebenarnya, terdapat beberapa lokasi untuk anda melihat tarian Kecak ini, tetapi di Uluwatu adalah lokasi yang paling popular.

Kenapa tarian Kecak di Uluwatu begitu terkenal berbanding di lokasi yang lain? Satu sebabnya kerana anda dapat melihat persembahan tarian kecak berlatar belakang pemandangan matahari terbenam dan pemandangan lautan. Memberi anda satu pengalaman yang menakjubkan.

 

Bersantai di Pantai

Bersantai di pantai

Bercuti ke Bali tanpa ke pantainya? Pasti macam rasa kurang percutian anda nanti.

Kalau anda nak tahu, Bali adalah sebuah pulau yang indah di Indonesia dan sememangnya antara sebuah pulau pelancongan yang terbaik di dunia. Jadi bila kita bercakap mengenai pulau yang indah, sudah pasti mempunyai pantai yang cantik.

Mempunyai pantai yang menarik merupakan salah satu tarikan kepada pelancong. Kalau nak aktiviti yang santai, anda boleh luangkan masa di pantai-pantai sambil layan view laut yang indah. 

Selain itu, anda boleh makan malam di tepi pantai sambil melihat matahari terbenam. Kalau anda pergi berdua dengan pasangan anda, boleh menimbulkan suasana romantik.

 

Aktiviti Air

Aktiviti Air

Kepada mereka yang mahu lebih dari sekadar bersantai di tepi pantai atau hanya mandi di laut, apa kata cuba pelbagai sukan air yang ada di Bali.

Sama ada anda seorang yang jarang bermain sukan air atau yang penggemar sukan air, pasti ada aktiviti yang boleh anda lakukan. Malah ada aktiviti yang boleh dilakukan bersama rakan atau ahli keluarga. 

Anda boleh snorkeling, seawalking atau selam skuba untuk melihat terumbu karang yang menakjubkan dan kehidupan bawah air. 

Bagi yang mencari pengalaman yang lebih mencabar, cuba parasailing kepada yang berani atau menaiki jet ski kepada yang suka kepada kelajuan. Anda akan merasai kegembiraan terbang di udara dengan parasailing atau merasakan kecepatan dan kekuatan mesin jet ski di air.

Jadi, jika anda mencari pengalaman sukan air yang menyeronokkan dan mencabar, Bali adalah destinasi yang sempurna. Cuma yang menghalang anda dari bermain sukan air yang ditawarkan adalah duit dalam poket anda.

 

Bermain River Rafting

River Rafting

Kalau anda tidak berminat melakukan aktiviti sukan air di laut, ada satu lagi aktiviti air yang menarik juga untuk anda lakukan. Cuma kali ini aktiviti air ini bukan di laut tetapi di sungai. Anda mesti tahu, ia adalah River Rafting.

Sungai Ayung, Melangit River Rafting dan Sungai Telaga Waja adalah destinasi utama kepada mereka yang mahu merasai pengalaman rafting yang menarik ini. Aktiviti ini boleh sejukkan dan menyegarkan badan anda dari bahang ketika berada di Bali.

Jangan risau, keselamatan anda diberi keutamaan. Anda akan mendapatkan panduan serta latihan dari instruktor yang berpengalaman. Alat keselamatan seperti jaket dan helmet akan disediakan untuk memastikan keselamatan anda semasa mengarungi sungai.

Tambahan, pemandangan semula jadi yang menakjubkan sepanjang sungai akan memikat hati anda. Jadi, jika anda mencari pengalaman yang menarik di tengah keindahan alam semula jadi Bali, rafting di sungai adalah pilihan yang tepat.

 

Tengok Ikan Lumba-Lumba

Ikan Lumba-Lumba

Mahu merasai pengalaman rare dan lain dari yang lain. Mari melihat ikan lumba-lumba. Anda boleh mengikuti tour yang ditawarkan dan boleh melihat sendiri Dolphin berenang di depan mata anda.

Tour Dolphin yang popular ialah di Pantai Lovina. Dan kalau anda tertanya-tanya bila waktu terbaik untuk melihat ikan lumba-lumba, jawapannya adalah pada waktu pagi. Dan tour memang biasa dilakukan pada awal waktu pagi.

Melihat dolphin di Lovina ini, anda bukan melihat di aquarium atau tempat tertutup tetapi di laut yang terbentang luas. Anda akan berlayar menggunakan perahu ke tengah laut yang tenang, sambil menikmati keindahan pantai dan matahari terbit. 

Jadi, peringatan kepada yang menginap di sekitar Kuta, perjalanan agak jauh untuk ke Lovina. Anda perlu bangun awal dan bergerak seawal 2-3 pagi untuk ke Lovina.

 

Berjalan di Kawasan Padi

Berjalan di Kawasan Padi

Kalau anda melihat video atau gambar mengenai Bali di internet atau media sosial, anda pasti pernah melihat kawasan teres padi. Ya, ia antara tarikan pelancong di Bali. Menikmati keindahan teras padi di Bali adalah salah satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan.

Salah satu tempat yang terkenal adalah di Tegalalang Rice Terrace. Pemandangan susun atur padi yang indah di Tegalalang Rice Terrace pasti buat anda kagum dengan tempat ini.

Perlu diingat, boleh ambil gambar sepuasnya cuma pastikan anda tidak merosakkan tanaman padi disini dan sentiasa mengikut jalan yang disediakan. 

Kalau anda seorang yang Instagrammer atau kaki bergambar, pasti anda tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di sekitar kawasan teres padi. 

 

Paragliding

Paragliding

Anda mahu melihat keindahan Bali dari atas? Apa kata anda cuba aktiviti paragliding. Salah satu aktiviti yang seronok untuk dilakukan dan sesuai kepada mereka yang berani meluncur tinggi di udara.

Dari puncak bukit yang tinggi, anda akan meluncur di udara dan merasakan sensasi terbang bebas seperti burung. Dari atas, anda boleh menikmati keindahan pemandangan pantai yang cantik, ombak yang menggulung, dan panorama alam yang menakjubkan.

Pastikan sentiasa untuk mengikuti arahan yang diberi oleh instruktur untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Jadi, jika anda mencari pengalaman yang mengasyikkan di udara, boleh cuba paragliding. Nikmati kebebasan terbang dan menikmati pemandangan yang luar biasa.

 

Main ATV

Main ATV

Kredit: Bali Surgawi Tour & Travels (Unsplash)

Mesti anda rasa buat apa main ATV, di Malaysia pun boleh main ATV. Betul tidak dinafikan tetapi pasti anda mahu rasa suasana atau pengalaman yang berbeza di sini.

Menyusuri kawasan alam semulajadi menjadikan ia aktiviti ekstrem yang meyeronokkan sambil melayan pemandangan alam yang menakjubkan.

Ini juga salah satu aktiviti lasak dimana keselamatan adalah perkara yang sangat penting. Sebelum memulai perjalanan, pastikan untuk mengenakan peralatan keselamatan yang disediakan, seperti helmet. 

Nikmati keindahan alam dan pemandangan menakjubkan saat anda menjelajahi Bali dengan ATV.

 

Merasa Minum Kopi Luwak

Kopi Luwak

Adakah anda seorang penggemar kopi? Anda pernah dengar mengenai minuman Kopi Luwak? Mungkin ada yang pernah dengar dan mungkin ada yang tertanya- tanya, apa itu air Kopi Luwak. 

Pertama sekali anda kena tahu bahawa Luwak itu adalah haiwan daripada spesis musang. Haiwan ini banyak terdapat dalam hutan sekitar Asia Tenggara termasuk di kepulauan Indonesia, tidak terkecuali iaitu Bali.

Kopi Luwak atau juga dikenali dengan ‘ Kopi Musang’, merupakan minuman kopi yang dikatakan termahal di dunia. Minuman Kopi tersebut diperbuat dari Kopi Luwak iaitu biji kopi yang keluar bersama najis musang tersebut akan dicuci dan diproses untuk dijadikan kopi.

Mungkin anda boleh cuba untuk merasa Kopi Luwak ini. Kepada yang muslim, jangan risau anda boleh minum kopi tersebut. Hukumnya HARUS.

 

Layan View Menarik di Nusa Penida

Nusa Penida

Nusa Penida ini adalah sebuah pulau yang lebih kecil dari Bali tetapi ia memberikan anda pemandangan yang indah dan menakjubkan. Ia terletak hanya dalam 25 kilometer dari Bali dan ia destinasi pelancongan paling terkenal di Indonesia.

Oleh kerana keindahannya dan terdapat begitu banyak tempat bergambar yang cantik. Oleh itu, pelancong kesini lebih tertarik hanya untuk bergambar. Tetapi anda boleh saja nak melakukan aktiviti lain seperti mandi laut dan snorkeling or diving.

Beberapa tempat popular untuk mengambil gambar sebagai kenangan adalah Kelingking Beach, Broken Beach, Angel’s Billabong, Paluang Cliff dan banyak lagi.

Trip ke Nusa Penida perlu menaiki bot. Jika anda bercadang untuk kesana, anda perlu menambah kos. Kalau anda ada bajet, boleh untuk teruskan niat untuk pergi ke Nusa Penida. Tetapi kalau anda tidak mempunyai bajet, bercuti di sekitar Bali juga sudah memadai.

 

Sebenarnya ada dua lagi aktiviti yang menarik untuk dilakukan iaitu hiking dan menaiki jeep ke kawasan pergunungan tetapi baru-baru ini pihak berkuasa telah mengharamkan segala aktiviti untuk dilakukan di pergunungan yang terdapat di Bali.

Ianya satu kerugian kerana beberapa aktiviti di kawasan pergunungan adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan ketika bercuti di Bali.

Tetapi masih ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh anda lakukan yang pasti buat anda tidak bosan ketika bercuti ke Bali. Selamat bercuti!

Kongsi:
Save on your hotel - hotelscombined.com

Leave a Reply