Pulau Langkawi ialah pusat pelancongan paling digemari oleh para pelancong tidak kira dari dalam mahupun luar negara.
Pulau yang penuh dengan cerita lagenda ini juga mempunyai daya tarikan lain iaitu kepelbagaian pantai yang ada disana. Jadi mari kita lihat keistimewaan pantai-pantai tersebut.
Pantai Cenang
Kredit Foto: C980040 (Wikimedia Commons)
Cantik, meriah dan menarik! Ini gambaran yang sesuai diberikan untuk Pantai Cenang. Kawasan pantai yang cantik dan indah untuk di kunjungi. Tidak kira siang atau malam, pantai ini pasti meriah dikunjungi para pelancong dan pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan yang memberikan pengalaman yang menyeronokkan.
Oleh kerana Pantai Cenang merupakan pantai paling popular dan menjadi tarikan utama di Langkawi, menjadikan salah satu pantai paling sibuk di Langkawi. Kedudukannya yang sangat strategik dimana dekat dengan hotel penginapan dan juga banyak kedai di kawasan sekitar menjadikannya pantai ini sangat digemari pelancong.
Bak kata orang ramai, tidak sah ke Langkawi kalau tidak singgah Pantai Cenang.
Pantai Tengah
Kredit Foto: jetsun (Wikimedia Commons)
Pantai Tengah terletak bersebelahan dengan Pantai Cenang kerana pada asalnya Pantai Tengah merupakan lanjutan dari Pantai Cenang. Pantai Tengah dikenali sebagai antara pantai yang paling panjang dan mempunyai keindahan yang mampu menarik perhatian pelancong untuk singgah disitu.
Oleh keranaa Pantai Tengah berada bersebelahan dengan Pantai Cenang, tidak dinafikan mempunyai daya tarikan seperti Pantai Cenang.
Di Pantai Tengah juga terdapat beberapa resort, hotel, dan juga restoran yang menyajikan pelbagai jenis makanan. Jika anda ingin berbulan madu, Pantai Tengah juga mempunyai beberapa pilihan penginapan menarik untuk anda menginap.
Pantai Pasir Hitam
Kredit Foto: Eeman Teoh
Dengar nama pun sudah teruja dimana pasir yang sering kita lihat berwarna putih keperangan tetapi sebaliknya berwarna hitam di Pantai Pasir Hitam. Keunikan dan keistimewaan pantai ini menjadikannya satu tarikan yang luar biasa kerana tidak semua tempat di dunia mempunya keajaiban ini.
Jikalau anda ingin tahu menurut penduduk lama disini, terdapat kisah lagenda atau turun temurun di sebalik terjadinya pasir di pantai ini berwarna hitam. Tetapi menurut saintis, ia mungkin terjadi disebabkan oleh kewujudan beberapa mineral seperti Tourmaline dan mineral Ilmenite dengan batuan granit yang menghasilkan pasir berwarna hitam.
Kalau anda datang ke Langkawi, wajiblah untuk singgah ke Pantai Pasir Hitam untuk melihat sendiri keadaan pasir tersebut disamping anda juga boleh mengambil gambar.
Pantai Tanjung Rhu
Kredit Foto: Paul Keller (Flickr)
Tidak hairanlah Pantai Tanjung Rhu tersenarai dalam ‘top list’ pantai yang cantik dan menarik di Langkawi. Jika anda ingin tahu, Pantai Tanjung Rhu juga dipilih antara 100 pantai tercantik di dunia oleh CNN. Ini pasti dapat menarik perhatian orang ramai untuk singgah melihat kecantikan pantai tersebut.
Apa yang anda perlu tahu, Pantai Tanjung Rhu ini tempatnya lebih lebih tenang, aman, dan privasi. Kawasan sekitar pantai juga terjaga dari sampah yang mencemarkan pantai mungkin kerana tidak ramai orang datang ke situ.
Kepada yang ingin mencari tempat untuk berehat tanpa kesesakan orang ramai, Pantai Tanjung Rhu ialah pilihan yang sangat ideal. Gerai makan juga terdapat disitu jika anda ingin mencari makan atau minum.
Pantai yang berbaloi untuk dikunjungi.
Pantai Pasir Tengkorak
Nama saja yang menggerunkan tetapi sangat berbeza dengan kenyataan sebenar bahawa Pantai Pasir Tengorak ini sangat indah dan cantik untuk dilawati. Seperti kebanyakan pantai, pantai ini juga agak kurang mendapat kunjungan dari pelancong mungkin di atas faktor ia terletak dia kawasan terpencil.
Landskap pantai yang luas bersama banyak pokok rendang di tambah dengan air laut yang jernih pasti menarik jika anda berkelah bersama keluarga disitu. Anak-anak kecil boleh bermain pasir dan bermandi manda sambil anda boleh menghilangkan stress mendengar bunyi deruan ombak.
Kepada seorang yang menggemari kawasan bebas daripada orang ramai dan suka suasana tenang yang lebih privasi Pantai Pasir Tengkorak antara destinasi yang sesuai untuk menghabiskan masa di hujung minggu bersama insan tersayang.
Berdekatan Pantai Pasir Tengkorak juga mempunyai Air Terjun Temurun dan Taman Buaya yang terletak tidak jauh dari pantai ini.
Pantai Kok
Kredit Foto: dmytrok (Flickr)
Pantai yang cantik dengan pasir yang putih bersih dan air yang biru kehijauan seperti zamrud pasti akan dapat menarik perhatian pelancong.
Para pelancong mudah untuk melihat kewujudan Pantai Kok ini dek kerana ianya terletak hanya di tepi jalan. Di sekitar kawasan pantai ini juga terdapat banyak pokok yang sesuai untuk pengunjung berehat ataupun melakukan aktiviti bersama keluarga seperti berkelah.
Pantai Kok merupakan antara pantai terbuka yang ada aura romantik kerana dikelilingi dengan marina moden dan kapal-kapal mewah yang berlabuh di sekitar pantai ini. Selain itu, anda juga boleh pergi menaiki kereta kabel Langkawi setelah usai berkunjung ke Pantai Kok kerana jarak bagi dua tempat ini juga tidaklah jauh mana.
Bacaan Lain:
22 Tempat Menarik Di Langkawi Untuk Percutian Yang Menyeronokkan
Pantai Teluk Datai
Kredit Foto: The Datai Langkawi
Pantai Teluk Datai ataupun boleh dikatakan pantai orang-orang kaya kerana bukan sebarangan boleh masuk ke dalam kawasan pantai ini. Pantai ini berkongsi dengan beberapa hotel 5 bintang yang sememangnya mewah dan terkenal di Langkawi iaitu The Datai dan The Andaman. Anda hanya dapat memiliki kebenaran untuk masuk jika anda ialah penghuni hotel tersebut.
Tidak dapat disangkalkan lagi suasana disana pasti tenang dan sangat sesuai bagi pasangan untuk berbulan madu kerana privasi pasti akan lebih terjamin.
Berbelanja lebih untuk menginap di hotel tersebut merupakan keputusan yang tepat walaupun sekali seumur hidup kerana ia akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kalau anda menginap hotel disini, pastikan untuk pergi ke pantai ini.
Pantai Rekreasi Kastam
Pantai Rekreasi Kastam ini tidak jauh dari Pantai Tanjung Rhu, kira-kira 5 minit perjalanan sahaja. Rugi kalau anda ke Pantai Tanjung Rhu tetapi tidak singgah ke Pantai Rekreasi Kastam walaupun untuk sebentar.
Pemandangan di pantai ini juga sama cantik seperti Pantai Tanjung Rhu, jadi memang berbaloi untuk anda pergi. Pasir yang putih dan anda boleh melihat matahari terbenam, menambah lagi sebab untuk anda datang ke pantai ini.
Pantainya juga agak panjang, jadi banyak aktiviti yang boleh anda lakukan. Kalau anda menginap di Four Seasons Resort Langkawi, anda kena pergi pantai ini kerana ianya terletak bersebelahan sahaja dengan resort tersebut.
Pantai Teluk Yu
Nama sahaja Pantai Teluk Yu tetapi tidak perlu risau dan khawatir kerana tiada kewujudan ikan yu pun disini. Pantai ini terletak dekat sahaja dengan Pantai Pasir Hitam. Jadi anda mungkin boleh berkunjung kedua pantai tersebut dalam satu hari dan melihat apakah perbezaan pantai-pantai tersebut.
Sama seperti kebanyakkan pantai di Langkawi, Pantai Teluk Yu ini memiliki pantai yang putih keperangan dan air yang jernih yang pasti menambat hati sesiapa yang melihatnya.
Persisiran pantainya yang landai sesuai untuk bermandi manda disitu selain daripada dapat menjadi tempat untuk keluarga meluangkan masa dengan aktiviti yang bermanfaat seperti berkelah ataupun bersantai di hujung minggu.
Tempat yang best menyaksikan keindahan pantai di pagi hari ketika matahari terbit dan juga sewaktu terbenamnya matahari.