Tempat Menarik di Langkawi

22 Tempat Menarik Di Langkawi Untuk Percutian Yang Menyeronokkan

*Di laman ini mungkin mengandungi pautan ‘affiliate’, yang bermaksud bahawa kami akan menerima komisen kecil jika anda mengklik salah satu pautan produk. Tidak dikenakan bayaran lebih jika membeli produk melalui link kami. Terima kasih atas sokongan anda*

 

Pulau Langkawi dan juga dikenali sebagai ‘Permata Kedah’ memang terkenal sebagai tempat percutian yang menyeronokkan dan sesuai untuk segenap usia.

Tambahan pula, tidak kira sama ada melancong secara solo, bersama pasangan, keluarga atau kawan-kawan pasti terdapat tempat menarik yang boleh dilawati di pulau ini.

Anda merancang untuk bercuti ke Pulau Langkawi dalam masa terdekat? Oleh itu, kami senaraikan tempat menarik di Langkawi sebagai panduan untuk anda yang ingin bercuti ke Langkawi di kemudian hari.

Kereta Kabel Langkawi

Menaiki Kereta Kabel Langkawi

Kereta kabel Langkawi atau dikenali sebagai SkyCab, merupakan tarikan utama apabila anda bercuti ke Langkawi. Tidak lengkap percutian anda jika tidak menaiki kereta kabel. Bak kata orang, ini aktiviti wajib jika pergi ke Langkawi (mungkin tidak wajib kepada orang yang takut dengan tempat tinggi).

Kereta kabel akan membawa anda ke puncak Gunung Mat Chinchang yang terletak 709 meter di atas paras laut.

Perjalanan dari bawah hingga ke puncak mengambil masa sekitar 15 minit. Sepanjang perjalanan anda akan melihat keindahan pemandangan tumbuhan, lembah-lembah dan lautan di bawah anda. Anda pasti tidak mahu melepaskan untuk mengambil gambar.

Jika anda mahu rasai kelainan, terutama yang berani atau mahu menguji tahap gayat anda, anda boleh mencuba gondola yang bertapak kaca.

 

Langkawi SkyBridge

Berjalan di Langkawi  Sky Bridge

Jika anda menaiki kereta kabel hingga ke puncak gunung, sudah pasti anda tidak mahu melepaskan peluang untuk pergi salah satu mercu tanda di Langkawi yang sangat popular iaitu SkyBridge.

Ianya sebuah jambatan gantung melengkung yang berukuran 125 meter panjang dan boleh memuatkan 250 orang pada satu masa. Untuk kesini anda perlu sampai ke Top Station dahulu, kemudian kena berjalan sedikit dalam 10 minit untuk kesini. Tetapi laluannya agak mencabar terutamanya kepada warga emas dan kanak-kanak. Kepada yang tidak mahu berjalan boleh menggunakan perkhidmatan SkyGlide.

Anda boleh berjalan di jambatan sambil menikmati udara segar dan melihat panorama sekeliling yang menarik. Tempat menarik untuk anda lawati. Persoalannya, adakah anda berani nak berjalan di jambatan ini?

 

Dataran Lang

Mengambil Gambar di Dataran Lang

Dataran Lang merupakan salah satu tarikan yang popular kepada pelancong yang bercuti ke Langkawi. Arca helang gergasi yang berketinggian 12 meter ini adalah mercu tanda kemegahan Pulau Langkawi.

Selain menawarkan pemandangan indah Teluk Kuah, kebanyakkan pengunjung yang datang hanya untuk mengambil gambar yang cantik berlatar belakang arca helang gergasi ini. Tempat ini memang sesuai kepada orang yang suka bergambar.

Oleh kerana Dataran Lang berdekatan dengan Jeti Kuah, anda boleh melihat melihat feri yang berulang-alik di teluk.

Datang pada waktu malam juga menarik dengan kawasan dataran diterangi dengan lampu.

 

Pantai Cenang

Pantai Cenang

Kredit Foto: C980040 (Wikimedia Commons)

Merupakan pantai paling menarik dan popular di Langkawi. Menjadikan ia kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Pantai ini pasti dikunjungi ramai orang pada musim cuti.

Bukan sahaja pantai yang cantik tetapi banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Paling best, banyak resort dan hotel yang menarik untuk anda menginap jika anda memilih untuk bermalam di sekitar Pantai Cenang.

Kedai makan memang banyak disini. Tidak pening bila anda mahu cari makanan. Yang peningnya nak makan di kedai yang mana. 

Sama ada siang atau malam, Pantai Cenang pasti meriah dengan kehadiran pengunjung.

 

Pantai Tanjung Rhu

Pantai Tanjung Rhu

Kredit Foto: Paul Keller (Flickr)

Selain Pantai Cenang, ada satu lagi pantai di Pulau Langkawi yang tidak kurang hebatnya ialah Pantai Tanjung Rhu. Kalau anda mencari  ketenangan, pantai ini sesuai untuk anda. Kawasannya yang kurang dikunjungi oleh pelawat, lebih tenang, aman, dan privasi berbanding Pantai Cenang.

Tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan disini, hanyalah anda mandi dan bermain di pantai. Tetapi yang pasti, anda tetap akan terpukau dengan keindahannya. Lebih menarik, ia pernah disenaraikan antara 100 pantai tercantik didunia oleh CNN.

Pantainya cantik dan bersih, memang disyorkan untuk pergi kesini. 

 

Kilim Geoforest Park

Kilim Geoforest Park

Kilim Geoforest Park adalah kawasan seluas 100 km persegi yang merupakan rizab alam semulajadi yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan geologi yang berusia lebih 500 juta tahun. 

Untuk meneroka tempat ini anda perlu menggunakan tour, iaitu Kilim Mangrove Tour. Lawatan ini akan membawa anda ke tempat menarik yang terdapat di Kilim Geoforest Park seperti gua kelawar. Sepanjang perjalanan anda akan melihat pemandangan pokok kayu bakau dan batu kapur yang menakjubkan. 

Keunikan dan keindahan alamnya membuatkan ia menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Tempat yang terbaik untuk dilawati kepada pencinta alam.

 

Pulau Payar

Terokai Pulau Payar

Kredit Foto: PrettyKateMachine (Flickr)

Pulau Payar atau taman laut Pulau Payar adalah sebuah pulau yang tidak berpenghuni tetapi popular untuk aktiviti mandi manda di pantai, snorkeling dan scuba diving. Ia juga terkenal dengan keindahan pantai serta hidupan marinnya.

Ia mengambil masa lebih kurang satu jam dari Jeti Kuah menggunakan bot laju. Pulau ini merupakan kawasan yang dilindungi, jadi terumbu karang yang ada disini terjaga. 

Sambil mandi manda anda akan dapat melihat hidupan laut dengan lebih dekat. Jika anda memang bercadang mahu melakukan aktiviti snorkeling, tempat ini mesti dimasukkan dalam senarai anda.

 

Tasik Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting

Tasik Dayang Bunting cukup terkenal dengan pengunjung dari dalam dan luar negara. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 15 minit dari Jeti Kuah. Dalam perjalanan, anda akan dapat melihat gunung yang kelihatan seperti seorang wanita ‘bunting’ sedang berbaring.

Terletak di Pulau Dayang Bunting, ia merupakan antara tarikan utama di Langkawi. Tidak lupa juga tentang kisah dongeng mengenai tasik ini. Ia menjadi tempat untuk orang bermandi manda dan beberapa aktiviti air menarik yang boleh dilakukan seperti berkayak.

Jika mahu kesini, pengunjung akan mengambil pakej atau trip island hopping yang akan membawa anda ke beberapa pulau yang lain.

 

Paradise 101

paradise 101 langkawi kedah

Kredit Foto: Paradise 101

Jika anda mencari tempat dimana anda ingin melakukan aktiviti atau hanya mahu bersantai, Paradise 101 mampu beri keduanya. Ia sebuah pulau persendirian buatan manusia. 

Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti yang ditawarkan seperti main jet ski, kayaking, Parasailing dan banyak lagi. Tambahan, terdapat kawasan yang cantik untuk anda berOOTD. Tempat ini juga seronok untuk lepak bersama keluarga, rakan atau pasangan anda.

Restoran disediakan dengan menyediakan pelbagai makanan untuk para pengunjung.

(Baca lebih lanjut mengenai Paradise 101)

 

Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi

Kredit Foto: Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi adalah tempat yang menempatkan berbagai spesis hidupan air tawar dan hidupan laut. Ia merupakan salah satu akuarium marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Bermula operasi pada tahun 1995, ia menjadi tarikan yang menarik untuk dikunjungi.

Terdapat beberapa zon yang ditawarkan. Setiap zon mempunyai tarikan yang tersendiri. Pastikan untuk pergi kesemua zon untuk mengalami pengalaman yang menyeronokkan.

Tempat yang best untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Kanak-kanak pasti suka berada di Underwater World Langkawi.

 

Taman Hidupan Liar Langkawi

Taman Hidupan Liar Langkawi

Kredit Foto: Langkawi Wildlife Park

Anda pencinta atau suka tengok haiwan, anda boleh pergi ke Taman Hidupan Liar Langkawi (Langkawi Wildlife Park). Sebuah petting zoo yang menempatkan berbagai spesies haiwan dan burung.

Anda bukan sahaja melihat haiwan secara dekat tetapi terdapat sesetengah haiwan yang boleh anda pegang, belai dan memberi makan seperti ikan dan burung. Nak bergambar sakan pun tiada masalah. Kerana kebanyakkan haiwannya jinak belaka.

Memang anak anda akan seronok, malah dapat menambah pengetahuan mengenai haiwan yang ada disini. Kalau anda pencinta haiwan, ia merupakan destinasi yang wajib anda pergi. Pasti tidak rugi wang yang dikeluarkan.

 

Crocodile Adventureland Langkawi

Crocodile Adventureland Langkawi

Kredit Foto: Crocodile Adventureland Langkawi

Terletak di Jalan Teluk Datai, Crocodile Adventureland Langkawi tidak jauh dari Oriental Village iaitu kira-kira 10-15 minit pemanduan. Selepas selesai naik kereta kabel, anda boleh melawat tempat menarik ini.

Ia sebuah taman buaya yang menempatkan beribu buaya pelbagai spesis. Malah, pengunjung boleh melihat replika buaya yang besar yang pernah hidup di zaman dinosaur.

Selain itu, banyak yang anda boleh belajar mengenai buaya disini. Lebih menarik lagi, anda boleh melihat pertunjukkan yang menarik seperti interaksi manusia dan buaya, memberi makan kepada buaya, dan banyak lagi.

 

Air Terjun Telaga Tujuh

Air Terjun Telaga Tujuh

Kredit Foto: Sabrinakhanpoly (Wikimedia Commons)

Tidak ramai yang pergi ke Langkawi untuk mencari air terjun, kerana kebanyakkan lebih berminat untuk berjalan di tepi pantai, naik kereta kabel atau melakukan aktiviti sukan air seperti bermain jet ski. Tetapi terdapat satu air terjun yang menarik dan menjadi tarikan di Langkawi iaitu Air Terjun Telaga Tujuh.

Mendapat nama Telaga Tujuh kerana di air terjun ini mempunyai 7  kolam kecil. Kisah mitos disini, dikatakan menjadi tempat puteri-puteri kayangan mandi manda.

Ada dua laluan yang boleh digunakan, sama ada laluan menggunakan tangga atau laluan merentas hutan. Tapi laluan merentas hutan lagi mencabar. Kalau anda memilih menggunakan tangga, pastikan cukup cergas dan bertenaga kerana anda perlu mendaki kira-kira 600 anak tangga.

Air Terjun Telaga Tujuh cukup cantik dan indah, seronok untuk aktiviti berkelah, mandi manda, dan beristirehat sambil menikmati panorama sekeliling.

 

Ayer Hangat Village

Ayer Hangat Village

Kredit Foto: Ayer Hangat Village

Kebanyakkan kolam air panas adalah air tawar tetapi di Ayer Hangat Village, ia merupakan kolam panas air masin. Lebih menarik, kolam air panas bergaram semulajadi merupakan kolam air panas yang sukar ditemui. Tidak banyak negara didunia mempunyai kolam air panas air masin.

Bila dah penat berjalan, boleh nak manjakan diri dengan merendamkan kaki serta menikmati kehangatan kolam air panas air masin di dalam jakuzi. Spa kesihatan dengan urutan menggunakan kaedah melayu tradisional juga ditawarkan untuk para pengunjung. 

Kawasannya yang tenang menjadikan ia tempat yang sesuai untuk anda rehatkan diri dan minda anda.

 

Oriental Village

Oriental Village

Kredit Foto: Balou46 (Wikimedia Common)

Jika anda mahu menaiki kereta kabel, anda pasti akan melawat tempat Oriental Village. Ini kerana stesen kereta kabel dan tempat bermula untuk anda naik kereta kabelnya berada disini. Kalau anda datang bersama keluarga atau kawan tapi anda takut nak naik kereta kabel, anda boleh luangkan masa dengan berjalan-jalan disini sementara tunggu mereka turun.

Oriental Village juga menawarkan banyak tempat menarik yang boleh anda lawati seperti 3D Art Langkawi. Selain itu, kompleks terbuka ini penuh denga cafe dan restoran yang menawarkan pelbagai menu makanan untuk anda menjamu selera.

Masuk adalah percuma. Kalau anda tidak naik kereta kabel sekalipun, banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti nak bershopping atau nak bergambar.

 

3D Art Langkawi

3D Art Langkawi

Kredit Foto: 3D Art Langkawi

Selepas anda naik kereta kabel, anda boleh singgah ke 3D Art Langkawi. Lokasi kedua-dua tempat ini berada di Oriental Village, jadi rugilah kalau tidak singgah dan merasai sendiri pengalaman disini yang merupakan muzium seni 3D terbesar di Malaysia.

Tempatnya yang bekeluasan 21,000 kaki, menempatkan lebih dari 100 koleksi lukisan interaktif 3D yang dilukis oleh sekumpulan artis antarabangsa yang berbakat. 

Terbahagi kepada 9 zon. Setiap zon mempunyai tema yang berbeza. Luangkan masa untuk melawat ke semua zon dan bersedia untuk memenuhkan memori telefon atau kamera anda dengan mengambil gambar yang menarik.

 

Legenda Park (Taman Lagenda)

Legenda Park

Kredit Foto: Hzh (Wikimedia Common)

Anda boleh pergi ke taman Lagenda setelah habis melawat Dataran Helang kerana lokasinya bersebelahan sahaja. Dibuka pada tahun 1996, sebuah taman yang terdapat monumen atau ukiran yang tersebar di seluruh taman. Setiap ukiran atau monumen mempunyai ceritanya yang tersendiri. 

Taman ini besar iaitu seluas 50 hektar, sesuai untuk berjalan-jalan, bersantai dan bergambar sambil melihat monumen yang ada disini. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan, kebanyakkan orang datang kesini untuk mengambil angin dan beriadah sahaja.

Di Taman Lagenda terdapat 4 buah tasik buatan yang indah, bukit tinjau yang berketinggian 20 kaki, laluan berjogging dan lain-lain.

 

Laman Padi

Laman Padi

Kredit Foto: Laman Padi Langkawi Official

Mahu merasa seperti berada di kawasan kampung dan padi, anda boleh ke Laman padi. Ia sebuah destinasi eko pelancongan yang berasaskan konsep perkampungan persawahan. Tempat ini mempunyai kawasan sawah yang kecil dan tempat yang menarik untuk aktiviti fotografi.

Anda boleh menambah pengetahuan dengan melawat muzium padi disini. Di muzium memaparkan pelbagai informasi, sejarah dan pameran peralatan yang digunakan dalam penghasilan padi.

Tempat yang boleh anda singgah sebentar jika bercuti ke Langkawi.

 

Kota Mahsuri

Kota Mahsuri

Kredit Foto: jetsun (Wikimedia Common)

Kota Mahsuri adalah salah satu tempat bersejarah yang anda tidak mahu terlepas untuk melawat ketika bercuti di Langkawi. Ia dikatakan tempat dimana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan di Pulau Langkawi. Malah, terdapat satu makam disini yang dikatakan makam Mahsuri. 

Ada muzium, rumah tradisional yang dibina didalam kawasan kompleks Kota Mahsuri, dan anda boleh membeli berbagai cenderahati dan barangan menarik yang dijual disini.

Wajib dikunjungi bagi mereka yang sukakan sejarah.

 

Splash Out Langkawi – Taman Tema Air

Splash Out Langkawi - Taman Tema Air

Kredit Foto: Splash Out Langkawi

Splash Out Langkawi merupakan taman tema air yang pertama di Langkawi. Lokasinya yang berada di tengah Pekan Kuah, telah menjadi antara tarikan utama di Langkawi selepas dibuka pada tahun 2019.

Keseronokkan yang ditawarkan kepada pengunjung di Splash Out Langkawi ialah terdapat 12 permainan menarik dan menyeronokkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kemudahan lain seperti gerai makanan dan kedai cenderamata juga disediakan untuk para pengunjung.

Boleh masukkan dalam senarai sebagai salah satu tempat yang menarik untuk meluangkan masa bersama kawan dan tak lupa juga bersama keluarga anda bila anda melawat Langkawi.

 

Kompleks Haji Ismail Group

Kompleks Haji Ismail Group

Kredit Foto: Kompleks Haji Ismail Group

Pulau Langkawi merupakan pulau bebas cukai. Ini bermakna harga barang-barang disini jauh lebih murah dibandingkan harga barang di luar Pulau Langkawi. Jika anda nak bershopping, tempat ini wajib untuk anda pergi.

Merupakan kompleks beli-belah produk coklat paling popular di Langkawi. Bukan sahaja coklat, malah anda boleh membeli pinggang mangkuk, kelengkapan dapur, bagasi, batik, kain pelikat dan sebagainya. 

Selain kompleks ini, Haji Ismail Group juga mempunyai banyak cawangan lain bagi memudahkan untuk orang ramai membeli belah. Andai anda mencari hotel sekitar Pekan Kuah, boleh menginap di Haji Ismail Group Hotel (HIG Hotel).

 

Skytrex Adventure Langkawi

Skytrex Adventure Langkawi

Kredit Foto: Skytrex Adventure Langkawi

Anda penggemar suka lasak? Mencari tempat yang menarik untuk melakukan aktiviti lasak di langkawi? Skytrex Adventure Langkawi adalah tempatnya. Menawarkan banyak aktiviti lasak yang menarik untuk dilakukan tetapi tarikan utama adalah melakukan aktiviti flying fox.

Pengunjung ditawarkan dengan 3 pakej yang anda boleh pilih mengikut kesesuaian dan ketahanan diri. Jangan risau, keselamatan adalah keutamaan nombor satu. Oleh kerana tempat ini terletak di kawasan hutan, boleh menikmati pemandangan yang hijau sambil melakukan aktiviti.

Selain di Langkawi terdapat dua lagi cawangan Skytrex Adventure. Satu berada di Melaka dan satu lagi berada di Sungai Congkak, Selangor. 

 

Jika terdapat tempat lain yang anda rasa menarik untuk dikongsi, sila komen di ruangan komen dan kongsikan dengan pembaca yang lain. Dan, mungkin boleh kongsikan pengalaman anda melawat tempat menarik di atas.

Dan jika anda mahu beli tiket untuk beberapa tempat di atas secara kombo, boleh beli di sini.

Selamat Bercuti!

Kongsi:
Save on your hotel - hotelscombined.com