Port Dickson merupakan salah satu destinasi yang paling popular untuk bercuti di sekitar Negeri Sembilan. Port Dickson juga terkenal dengan beberapa pantainya yang cantik dan mempunyai pelbagai tarikan untuk para pelancong.
Jika anda ingin bersantai bersama keluarga mahupun rakan-rakan, Port Dickson pasti akan jadi destinasi pilihan. Jadi, mari kita lihat beberapa pantai yang cantik di Port Dickson yang boleh anda kunjungi.
Pantai Teluk Kemang
Pantai paling popular dan dikenali di Port Dickson, Pantai Teluk Kemang yang tidak pernah lekang dari kehadiran pelancong di hujung minggu. Boleh dikatakan pada setiap minggu pasti meriah dengan jumlah pelancong yang ramai datang dari awal pagi lagi.
Kebanyakan pelancong suka untuk pergi ke Pantai Teluk Kemang kerana terdapat beberapa hotel dan resort yang menarik disekitar kawasan tersebut. Pantai Teluk Kemang juga ialah destinasi yang seronok kerana terdapat banyak gerai jual beli di situ. Daripada pelbagai aneka makanan, pakaian dan juga mainan untuk kanak-kanak.
Jadi tidak hairanlah ramai pelancong suka bercuti di pantai ini. Kemudahan yang disediakan adalah lengkap disamping pelbagai aktiviti menarik yang menambah lagi kemeriahan pantai tersebut.
Pantai Cahaya Negeri
Pantai Cahaya Negeri ialah antara pantai yang popular di Port Dickson dengan landskap yang sangat cantik. Kepada para penggemar fotografi mahupun yang ingin membuat sesi mengambil gambar perkahwinan, Pantai Cahaya Negeri ialah destinasi yang sangat tepat.
Pemandangan yang menawan apatah lagi pada waktu senja pasti menarik perhatian sesiapa yang datang singgah. Disitu juga terdapat jambatan kayu yang anda boleh lalui. Anda boleh mengambil banyak gambar yang berlatarbelakang pemandangan yang sangat cantik disitu.
Kemudahan awam juga banyak disediakan disitu seperti parkir kereta dan pondok rehat untuk pengunjung. Pantai Cahaya Negeri juga menyediakan pelbagai tarikan seperti memancing dan banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan bersama keluarga mahupun rakan-rakan.
Pantai Saujana
Pantai Saujana atau juga dikenali sebagai Pantai Batu 4, merupakan antara pantai yang popular selepas Pantai Teluk Kemang dan mempunyai kepanjangan pantai sejauh 1 km. Pantai Saujana bersebelahan dengan Pantai Cahaya Negeri.
Dengan keadaan pantainya yang luas dan pasir yang halus membuatkan ramai yang tertarik untuk bercuti di Pantai Saujana. Pantai ini juga menarik sebagai tempat aktiviti riadah bersama keluarga. Kawasan pantai tersebut sesuai kepada para pengunjung yang gemar untuk berkhemah pada hujung minggu.
Anda juga boleh menginap di hotel yang berdekatan kawasan Pantai Saujana. Jadi anda boleh berkelah di siang hari dan berehat di hotel tersebut di malam hari.
Kredit: ceritaku.my
Pantai Tanjung Biru
Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon juga terkenal sebagai antara pantai yang bersih di Port Dickson. Ibu bapa boleh bawa anak-anak berkelah disini pada waktu cuti sekolah. Malah, pantai ini juga sesuai untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti berkelah bersama keluarga tersayang atau bersama rakan.
Kawasan pantainya tidaklah terlalu panjang dan ketika waktu cuti, kawasan pantai ini meriah dengan pengunjung yang mahu berkelah, berkhemah dan mandi manda disini.
Pantai Tanjung Biru juga berdekatan dengan Bukit Batu Putih yang menjadi tumpuan para pelancong untuk mendaki dan melihat pemandangan laut dari puncak yang pasti sangat cantik. Selepas turun mendaki, anda boleh singgah berehat di kawasan pantai sambil mendengar bunyi ombak yang tenang.
Pantai Cermin
Pantai Cermin yang terletak di Jalan Pantai, Port Dickson ialah sebuah pantai yang menarik. Dari pantai ini anda akan dapat melihat Lexis Hibiscus Port Dickson.
Pantai ini bertentangan dan berdekatan dengan Pantai Tanjung Biru. Jadi, anda boleh melawat dua pantai ini. Tempat yang tenang pasti sesuai untuk sesiapa yang ingin berehat untuk menghilangkan tekanan sambil mendengar bunyi deruan ombak.
Lebih menarik, pantai ini tempat menarik untuk melihat sunrise. Jika anda menginap berdekatan, bolehlah anda pergi melihat sunrise yang cantik dari pantai ini.
Kredit: Farah Husna 98 (Wikimedia Commons)
Pantai Bagan Pinang
Pantai Bagan Pinang antara yang terkenal dengan tarikan pantainya di sekitar Port Dickson. Pantai yang tidak terlalu ramai pengunjung menjadikannya sesuai untuk beriadah bersama keluarga di hujung minggu.
Terdapat pokok disepanjang persisiran pantai tersebut sesuai untuk dijadikan kawasan berteduh untuk pengunjung bersantai.
Pantai Bagan Pinang juga merupakan destinasi yang sesuai untuk beriadah, berkhemah mahupun melakukan aktiviti ‘hari keluarga’ kerana kemudahan awam yang terjaga, kerusi meja untuk berkelah dan juga parkir kereta yang tidak jauh dari pantai.
Pantai Purnama
Pantai purnama atau juga dikenali oleh orang ramai sebagai Pantai Sri Purnama merupakan sebuah pantai yang menarik tetapi tidak terlalu sesak dengan pengunjung (tidak sesak seperti di Pantai Teluk Kemang). Ini mungkin kerana kawasan pantai ini yang tersorok sedikit dari jalan utama.
Pantai ini sesuai untuk anda berkelah bersama keluarga atau rakan. Nak mandi laut pun tiada masalah. Memang seronok kalau nak bawak anak-anak ke sini. Anda boleh berkhemah jika mahu bermalam disekitar pantai dan pastinya seronok melakukan aktiviti BBQ.
Cuma satu yang kurang seronok mengenai pantai ini adalah terdapat banyak batu. Pastikan sentiasa berhati-hati ketika mahu mandi atau bermain air di pantai. Tersilap langkah boleh cederakan anda.
Malah, pantai ini adalah salah satu tempat yang popular untuk melihat matahari terbenam.
Pantai Tanjung Gemuk
Namanya yang unik, Pantai Tanjung Gemuk juga salah satu pantai yang boleh anda lawati di Port Dickson. Pantainya agak kecil dan tiada kemudahan seperti tandas yang disediakan untuk para pengunjung. Oleh kerana itu, pantai ini tidak ramai dikunjungi dan mendapat perhatian.
Oleh kerana tiada kemudahan asas yang disediakan, Pantai Tanjung Gemuk ini lebih sesuai untuk anda yang datang sekadar untuk lepak sambil melihat pemandangan laut yang indah.
Terdapat hotel mewah berdekatan dengan kawasan pantai tersebut iaitu Grand Lexis Port Dickson. Kalau anda menginap di hotel ini, boleh singgah sebentar melawat kawasan pantai.
Selesai kami senaraikan beberapa pantai yang menarik di Port Dickson untuk anda dikunjungi. Mahu mandi manda, berkelah atau berkhemah, pantai-pantai ini ada untuk anda. Bawa anak-anak pasti dapat memberi keseronokkan kepada mereka.
Jadi, pantai mana pilihan anda? Tidak kira mana satu pilihan anda, pasti akan memberi pengalaman menarik sama ada bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan anda. Selamat Bercuti!