Salah satu sebab Terengganu menjadi destinasi pelancongan yang terbaik kerana terdapat banyak pulau yang cantik dan menarik. Boleh dikatakan pulau yang ada di negeri ini antara yang tercantik dan terbaik di Malaysia.
Pasti ramai yang tahu, destinasi pulau paling popular di Terengganu adalah Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Sama ada di media sosial atau anda mencari di laman web, banyak pakej yang ditawarkan untuk bercuti ke dua pulau ini.
Sebenarnya ada lagi pulau yang menarik dan cantik yang anda boleh terokai. Kami senaraikan enam pulau yang cantik untuk dilawati di Terengganu selain Pulau Perhentian dan Redang.
Pulau Kapas
Pulau yang berdekatan dengan Kuala Terengganu ini juga popular kepada yang mahu bertenang, bersantai dan untuk tenangkan fikiran.
Jika mahu kesini anda perlu untuk menaiki bot di Jeti Marang yang mengambil masa perjalanan kira-kira 20 minit sahaja bergantung kepada cuaca.
Pemandangan pasir putih dan laut kebiruan yang cantik, memang sesuai untuk lari sekejap dari kesibukan kota.
Selain aktiviti snorkeling, aktiviti yang popular adalah mendaki Bukit Singa. Anda dapat melihat pemandangan sekeliling yang memukau. Pulau Kapas juga terkenal sebagai lubuk untuk mencandat sotong.
Menawarkan beberapa tempat untuk bermalam kepada para pelancong.
Pulau Lang Tengah
Pulau Lang Tengah merupakan pulau yang kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan mengambil masa 30-45 minit dari Jeti Merang.
Mahu percutian yang private, boleh datang kesini. Kepada yang mahu berbulan madu boleh pertimbangkan untuk bercuti kesini.
Pelbagai aktiviti seperti kayak, snorkeling, jungle trekking dan boleh lepak tepi pantai sambil layan pemandangan yang cantik.
[Maklumat lanjut mengenai Pulau Lang Tengah]
Pulau Tenggol
Kredit Foto: Tenggol Island
Sebuah pulau yang kecil tetapi kecantikannya pasti menarik minat anda untuk kesini. Pulau ini terkenal kerana keindahan terumbu karangnya. Sebab itu tarikan utama disini adalah scuba diving untuk melihat keindahan dasar lautnya.
Tempat ini dikatakan ‘syurga’ kepada yang suka aktiviti menyelam. Yang suka snorkeling juga pasti tidak mahu terlepas melihat sendiri keindahan hidupan laut sekitar Pulau Tenggol.
Terdapat 20 lokasi menyelam yang popular seperti Teluk Air Tawar, Teluk Rajawali, dan banyak lagi.
Pulau Gemia
Kredit Foto: Nurul Syahirah Nazarudin
Sebuah pulau yang boleh dikatakan ‘hidden gem’ yang tidak jauh dari Pulau Kapas iaitu Pulau Gemia. Pulau persendirian ini jarang diperkatakan tetapi keindahan dan kecantikannya tetap memukau.
Oleh kerana jarak antara Pulau Gemia dengan Pulau Kapas lebih kurang 800 meter sahaja, kalau anda mahu kesini sama seperti ke Pulau Kapas iaitu menaiki bot di Jeti Marang dan perjalanan mengambil masa 15 minit.
Pulau ini lebih kecil, jadi tiada banyak aktiviti boleh dilakukan kecuali hanya aktiviti air seperti berkayak dan snorkeling.
Hanya terdapat satu resort iaitu Gem Island Resort & Spa. Sesiapa yang mencari destinasi yang lebih privasi dan terpencil boleh bercuti ke sini.
Pulau Gemia agak terkenal di kalangan pelancong asing.
Pulau Rawa
Jangan keliru, ini bukan Pulau Rawa yang terkenal di Johor itu. Di Terengganu juga ada pulau yang namanya Rawa dan kecantikkannya juga setanding pulau yang lain.
Tetapi Pulau Rawa kurang mendapat perhatian pelancong dan disini tiada penginapan untuk anda bermalam. Pelancong datang kesini hanya untuk melakukan aktiviti snorkeling. Cara ke sini dengan menaiki bot dari Pulau Perhentian.
Kerana jarang dilawati manusia, kecantikan kawasan ini terjaga. Malah, pemandangan sekitar pulau amat mengasyikkan.
Pulau Bidong
Kredit Foto: Nabilah S. (foursquare)
Pulau Bidong mempunyai sejarahnya tersendiri. Pulau ini pernah menjadi penempatan sementara untuk lebih 200 ribu pelarian Vietnam dari tahun 1978 hingga 1991 yang dimana ketika itu negara Vietnam sedang menghadapi peperangan.
Perjalanan ke Pulau Bidong mengambil masa kira-kira 30 minit dengan mengunakan bot laju.
Kerana keindahan terumbu karangnya, ia menjadi destinasi pulau yang terkenal di kalangan penyelam, Tambahan, kehadiran pengunjung ke Pulau Bidong juga disebabkan keindahan pantainya.
Sama seperti Pulau Rawa tempat ini tiada tempat untuk anda menginap.
Jadi, adakah anda ada terfikir nak pergi ke pulau-pulau ini?
Kalau anda mencari destinasi pulau yang cantik untuk dilawati di Terengganu selain Pulau Perhentian Dan Redang, enam pulau ini boleh masukkan dalam senarai tempat percutian anda.
Selamat Bercuti!