Terengganu, salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelancong di Semenanjung Malaysia.
Terengganu menjadi tumpuan kerana terdapat banyak tempat menarik, pulau yang cantik dan port makan popular untuk para pelancong.
Bercakap mengenai tempat menarik, dalam penulisan kali ini kami akan menyenaraikan 10 tempat menarik untuk OOTD di Terengganu.
Masjid Kristal
Masjid Kristal, merupakan salah satu bangunan ikonik di Terengganu. Masjid ini unik kerana satu-satunya yang dibina sepenuhnya daripada keluli dan kaca.
Masjid mempunyai keluasan 2,146 meter persegi dan boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa.
Terletak di atas Sungai Terengganu, masjid yang tersergam indah ini benar-benar menarik untuk dilihat.
Selain dijadikan tempat ibadah untuk yang beragama islam, ianya juga menjadi daya penarik pelancong kerana struktur bangunannya yang unik.
Taman Tamadun Islam
Kredit: Taman Tamadun Islam
Ianya terletak di Pulau Wan Man, Taman Tamadun Islam atau TTI ini berdekatan saja dengan Masjid Kristal. Jadi anda boleh melawat dua tempat ini sekaligus tanpa perlu berjalan jauh.
Berada disini anda akan dapat melihat beberapa koleksi replika masjid atau monumen menarik tentang dunia senibina Islam seluruh dunia.
Tempat ini sesuai untuk anda bersiar-siar bersama keluarga sambil boleh mengambil gambar monumen yang menunjukkan senibina yang menarik.
Air Terjun Tasik Puteri
Terletak di dalam Taman Rekreasi Tasik Puteri, Air terjun kecil ini terkenal di kalangan penduduk tempatan. Air terjun buatan manusia yang menakjubkan ini adalah impian setiap pencinta alam.
Kelihatan kolam air biru yang indah dengan pemandangan air terjun, menjadikan tempat yang menarik untuk ber OOTD.
Malah, anda boleh mandi manda di sini. Tetapi diingatkan untuk berhati-hati kerana di sini kawasan airnya yang agak dalam. Kalau rasa kurang yakin atau tidak pandai berenang, dinasihatkan untuk tidak mandi disini.
Masjid Lapan Kubah (Masjid Russia)
Masjid Lapan Kubah atau dikenali juga sebagai ‘Masjid Russia’ kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia.
Oleh kerana seni binanya yang unik serta berwarna warni, menjadi antara masjid ikonik di Terengganu.
Masjid yang berwarna-warni serta terletak di kawasan padi telah menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar Terengganu.
Jika anda ke Jerteh, singgah la sebentar, pasti akan membuat anda terpesona dengan keunikan masjid ini.
Bukit Keluang
Bukit keluang yang terletak 4km dari pekan Kuala Besut, merupakan salah satu destinasi percutian yang menarik di Terengganu. Terkenal kerana menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang cukup memukau.
Walaupun terdapat pantai yang cantik disini tetapi untuk mendapatkan pemandangan yang lebih menarik, anda hendaklah mendaki naik ke bukit keluang. Dari atas bukit anda akan dapat melihat pemandangan Laut China Selatan yang menakjubkan.
Jika anda tidak mahu mendaki, anda boleh mengambil gambar di pantai sahaja. Tetapi, kalau boleh naik ke Bukit Keluang dan lihatlah sendiri keindahan pemandangan sekitar dari atas.
Bukit Maras
Selain Bukit Keluang, Bukit Maras juga menjanjikan pemandangan yang menarik ketika anda berada di atas bukit. Ia merupakan salah satu tempat popular untuk aktiviti ‘hiking’ dan ‘camping’ di Terengganu.
Laluan ke puncak juga sesuai untuk yang ‘beginner’ mendaki bukit. Laluannya tidak terlalu sukar. Kerana pemandangannya yang menarik, sesuai untuk anda bergambar disini.
Mahu merasai pengalaman lebih menarik adalah dengan berkhemah satu malam di sini. Anda dapat melihat pemandangan sekitar yang menarik pada waktu senja, malam dan awal pagi.
Bukit Singa, Pulau Kapas
Seperti mana yang kita ketahui, Pulau Kapas memang cukup terkenal di kalangan pengunjung sebagai antara pulau yang menarik untuk dilawati di Terengganu kerana kecantikan dan juga lokasinya tidak jauh dari Jeti Marang. Keindahan semula jadi pulau ini telah menarik ramai pelancong terutama kepada pencinta pulau.
Terdapat satu tempat di pulau ini yang menjadi tarikan utama selain daripada keindahan pasirnya. Tempat tersebut ialah Bukit Singa, yang merupakan signature Pulau Kapas. Jika anda ke Pulau Kapas, selain melakukan aktiviti snorkeling, mendaki Bukit Singa juga aktiviti yang mesti anda lakukan.
Bukitnya rendah, tetapi perjalanan ke bukit ini sedikit berbahaya. Anda akan melalui kawasan berbatu dan ada batu yang tajam. Jadi sentiasa berhati-hati. Selain itu, pastikan memakai pakaian yang sesuai.
Bila anda sudah sampai, anda akan disajikan dengan pemandangan yang cukup untuk buat anda kagum. Pastinya anda tidak mahu terlepas untuk mengambil gambar menarik sambil menikmati pemandangan laut yang indah.
Kampung Jambu Bongkok
Kredit Foto: ConnieYee (Wikimedia Common)
Kepada yang suka berfoto, anda boleh singgah ke Kampung Jambu Bongkok. Tempat yang cantik untuk anda ber OOTD. Terletak di Marang, banyak spot menarik serta terdapat pondok dan buaian yang dibina oleh penduduk tempatan untuk kegunaan pelancong yang datang ke kampung ini.
Tambahan pula, ia terletak di tepi pantai serta terdapat banyak pokok kelapa menambahkan lagi keindahan pemandangan disini. Kampung Jambu Bongkok juga sesuai untuk sesiapa yang mencari ketenangan.
Jika anda ke Marang jangan lupa untuk singgah!
Pantai Penarik
Antara salah satu pantai popular yang menjadi tarikan pengunjung di Terengganu. Selain anda akan jatuh cinta dengan keindahannya, Pantai Penarik juga sinonim dengan makanan celup tepung.
Air lautnya yang biru (jika bukan musim monsun), pasir pantai yang putih dan ditambah dengan pemandangan pokok menghijau menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan.
Terdapat kemudahan prasarana, gerai makan, tempat rehat dan tempat untuk ber OOTD yang menarik untuk anda ketika berada di Pantai Penarik.
Anda boleh jadikan kawasan Pantai Penarik sebagai salah satu destinasi pelancongan anda.
Jambatan Angkat Terengganu (Terengganu Drawbridge)
Jambatan Angkat Terengganu atau Terengganu Drawbridge merupakan mercu tanda di Terengganu. Bukan sahaja memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk tempatan malah menjadi tarikan pelancong ke Terengganu.
Jambatan ini memang popular untuk mengambil gambar. Sama ada anda mengambil gambar di jambatan atau berada di kawasan yang berdekatan untuk ambil gambar yang berlatar belakang jambatan ini.
Tetapi, nak dapat gambar yang lebih menarik dan cantik adalah dengan menaiki bot. Pergi pada waktu pagi atau petang, ketika matahari nak terbit atau terbenam, anda boleh dapat gambar yang cantik.
Kalau anda mencari servis bot untuk trip tersebut, kami sarankan anda naik dengan Sekati Emas Boat Tour.
Jadi di mana pilihan anda atau terdapat tempat lain yang bagi anda menarik untuk bergambar tetapi yang tidak disebut di atas, anda sangat dialu-alukan kongsi dengan pembaca lain di ruang komen. Selamat bercuti!